Islamic Widget

Wednesday, September 2, 2009

MANUSIA MUDAH LUPA AKAN NIKMAT ALLAH

(PERIHAL 3 ORANG CACAT BANI ISRAEL)

HARTA KEKAYAAN YANG DIMILIKI HANYA PINJAMAN DAN AMANAH DARIPADA ALLAH YANG MAHA ESA

“Barang siapa bersyukur atas nikmat-Ku maka Aku akan menambah nikmat itu dan barang siapa yang ingkar atas nikmat-Ku maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih adanya”.

-Surah Ibrahim Ayat 7-

S

edar atau tidak, selama ini terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada diri kita semua. Bagaimanapun, begitulah sikap manusia yang mudah lupa dan senang hanyut apabila sahaja mendapat kurniaan yang lebih, sudah mula mendabik dada menunjukkan kemegahan dan sombong.

Tidak sukar kita temui manusia yang lantang menyatakan segala kekayaan mereka itu hasil penat lelah setelah berusaha gigih, hingga lupa hakikat sebenarnya segala apa yang kita miliki sebelum, kini dan selamanya adalah kepunyaan Allah S.W.T. Kita hanyalah pemegang amanah Allah, jadi kisah berikut wajar direnungi agar kita semua dapat menginsafi diri.

Abu Hurairah ada menyatakan dia mendengar Nabi Muhammad S.A.W pernah bercerita perihal kisah tiga orang cacat daripada Bani Israel. Orang yang pertama berpenyakit kusta, yang kedua pula berkepala botak manakala yang ketiga cacat penglihatan. Dikisahkan, Allah telah menghantar Malaikat kepada mereka bagi menguji mereka bertiga itu.

Malaikat bertanya kepada orang yang berpenyakit kusta itu: “Apakah yang paling engkau sukai?” Lalu dijawab orang itu: “Yang paling aku suka tentulah kulit yang baik serta sembuh daripada penyakitku ini, tetapi alangkah bagusnya jika aku ada seekor unta”.

Kemudian Malaikat mengusap tubuhnya. Maka sembuhlah orang itu daripada penyakit kustanya itu dan juga memberinya seekor unta yang sedang bunting. Malaikat juga mendoakan semoga Allah memberkatinya.

Selepas itu, malaikat pun bertanya pula kepada orang yang kedua yang berkepala botak: “Apakah yang paling engkau sukai?”. Jawab orang itu: “ Aku suka jika rambutku lebat, tetapi alangkah bagus jikalau aku mendapat seekor lembu”.

Kemudian malaikat pun menggusap kepalanya, maka tumbuhlah rambut yang lebat dan juga diberikannya seekor lembu yang sedang bunting serta mendoakan moga-moga orang itu diberkati dalam kehidupannya.

Akhirnya malaikat bertanya pula kepada orang yang ketiga yang cacat penglihatan mengenai soalan yang sama. Dan dijawabnya: “Yang paling aku sukakan ialah semoga Allah mengembalikan aku penghilatanku dan dianugerahkan seekor kambing”.

Mengetahui apa yang disukai orang cacat yang ketiga itu, malaikat pun menggusap matanya. Maka sembuhlah matanya serta diberikan seekor kambing yang bunting sambil berdoa semoga orang cacat itu diberkati dan dirahmati Allah.

Diceritakan pula, selang beberapa waktu, malaikat datang semula dengan rupa yang sama tetapi dalam keadaan mengemis dengan tujuan menguji ketiga-tiga mereka yang kini kaya raya. Keadaan ketiga-tiga orang itu sudah berupah sama sekali, mereka memiliki kekayaan dan hidup dengan senang lenang.

Si penyakit kusta dan si kepala botak mengaku segala harta kekayaan yang sedang dimiliki mereka kini adalah hasil peninggalan nenek moyang mereka dan juga hasil daripada penat lelah mereka sendiri, bagaimanapun, berlainan pula dengan orang yang ketiga yang cacat penglihatan.

Apabila malaikat datang meminta daripadanya, dia menyatakan : “ Ambillah kambing itu seberapa banyak yang engkau mahu, aku sedikit pun tidak keberatan terhadap apa yang kamu ambil itu kerana Allah dan tinggalkanlah bagiku menurut kehendakmu”.

Jawab malaikat: “Jagalah hartamu, kamulah orang yang diredhai Allah, sedangkan kedua-dua sahabatmu itu dimurkai Allah”.

Begitulah peristiwa yang tejadi kepada tiga orang yang pada asalnya cacat dan miskin tetapi kemudian dengan izin Allah, mereka telah disembuhkan malah dikurniakan kepada mereka dengan harta kekayaan yang banyak.

Akan tetapi dua daripada mereka itu lupa daratan dan tidak sedar diri. Maka dua orang itu sangat dimurkai Allah kerana tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan, sebaliknya orang yang ketiga yang penuh tawaduk itu serta sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah telah mendapat pujian malaikat kerana orang itu diredhai Allah.

Ingatlah pesan Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud “Barang siapa bersyukur atas nikmat-Ku maka Aku akan menambah nikmat itu dan barang siapa yang ingkar atas nikmat-Ku maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih adanya”.

Nabi Muhammad S.A.W telah memberi peringatan kepada kita semua dalam sabdanya yang bermaksud “Barang siapa yang tidak mensyukuri pemberian yang sedikit, maka dia tidak akan dapat mensyukuri pemberian yang banyak, dan barang siapa tidak bersyukur pada manusia, maka dia tidak akan pernah mensyukuri Allah” (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

Oleh : Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

rencana@hmetro.com.my

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online